Keluarga Janggol & Normah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Moga kembali bertaut ikatan persaudaraan dan kekeluargaan kita.. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan, yang rapat kita mesrakan dan yang mesra kita serasikan.

Salam Maal Hijrah 1431


Apa saja pencapaian yang kita peroleh atas hasil usaha di dunia ini hanyalah setitis daripada rahmat-Nya yang dituang dalam hati kita. Begitu juga kegagalan dan musibah yang berlaku adalah supaya kita lebih dekat kepada Allah dan bergantung sepenuh pengharapan setelah sebelumnya kita berasa gagah dan hebat menguasai medan kehidupan.

Selepas beribu batu perjalanan ditempuhi, eloklah berhenti sejenak sambil bertafakur untuk memastikan adakah jalan itu betul dan lurus sesuai dengan matlamat asal kita. Dari mana kita datang, untuk apa kita berjalan dan ke mana kita kita tuju? Kembalilah kepada Allah sebelum segala berakhir dengan kesengsaraan abadi.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).”

Tidak ada ucapan selamat kepada mereka yang mensia-siakan hidupnya walaupun setiap tahun mereka menyambut maal hijrah dengan gilang-gemilang. Yang sepatutnya diberi ucapan itu adalah orang yang cekal dan gigih memperjuangkan imannya hingga menemui Tuhannya dengan hati yang reda.

Perhimpunan Keluarga 28 November 2009

PARIT BUNTAR: Lebih 500 ahli keluarga empat generasi daripada keturunan Janggol dan Normah berkumpul di Sekolah Menengah Agama Al Falah, Parit Tok Ngah, dekat sini bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka, kelmarin.

Perhimpunan julung kali diadakan diketuai cucu pasangan itu, Bahruddin Sulaiman yang mempelopori usaha menghimpunkan ahli keluarga yang sudah lama tidak berjumpa dan terpisah disebabkan faktor masa, fizikal dan geografi.

“Perhimpunan diadakan sempena Aidiladha ini boleh diibaratkan seperti ‘jejak kasih’ untuk menjalin semula ikatan silaturahim di kalangan ahli keluarga yang sudah terpisah selain untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Saya bersyukur usaha sejak setahun lalu untuk menghimpunkan seramai mungkin ahli keluarga yang kini bertebaran di seluruh negara termasuk yang mencari rezeki di Sarawak berjaya.

“Kami mahu menjadikan perjumpaan ini sebagai medan mengukuhkan ikatan kekeluargaan, merapatkan hubungan persaudaraan dan mewujudkan keserasian antara ahli keluarga terutama golongan tua dan muda,” katanya pada majlis itu.

Menurutnya, idea mengumpulkan ahli keluarga ini lahir kerana satu persatu generasi pertama dan kedua Allahyarham Janggol meninggal dunia, mengakibatkan generasi muda tidak mengenali satu sama lain.

“Usaha ini bagi memastikan ahli keluarga empat generasi berkenaan tidak terputus dan terus saling mengunjungi sesama mereka, walaupun selepas ketiadaan moyang dan datuk mereka,” katanya.

Bahruddin berkata, Majlis Korban dan Hari Keluarga Keturunan Janggol dan Normah yang menghimpunkan generasi ketiga hingga keenam disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Khalil Idham Lim.

Pelbagai aktiviti diadakan pada majlis itu termasuk ibadah korban dua ekor lembu, tahlil, bacaan al-Quran, jamuan makan dan cabutan bertuah.

*Harian Metro